Thursday, January 24, 2008

PENGENALAN

Buah Naga atau umumnya dikenali sebagai Pitaya ialah tanaman baru yang belum diterokai sepenuhnya di negara kita. Di Malaysia, kawasan penanaman buah naga ini sangat kecil berbanding dengan tanaman lain seperti tanaman komoditi yang sememangnya di usahakan secara besar-besaran di Malaysia. Namun demikian, penanaman buah naga mula mendapat perhatian dan sambutan hangat di Malaysia kerana buah ini mengandungi khasiat yang tinggi berbanding buah lain. Buah naga berasal dari negara-negara Amerika Latin iaitu Chile, Argentina, Peru, dan Mexico. Buah ini di bawa ke Vietnam sebagai tanaman hiasan yang kemudiannya ditanam secara besar-besaran setelah mengetahui keenakan buahnya. Kini Vietnam telah menjadi sumber pengeluar dan pengeksport utama dunia untuk buah naga.

KEBAIKAN PENANAMAN BUAH NAGA

1. Sejenis buah yang tulen dan tidak memerlukan racun serangga.
2. Albumen mengeluarkan toksik dan mengalir keluar lebihan galian.
3. Anthocyanin membebaskan radikal dan melambatkan proses penuaan.
4. Vitamin C mencantikkan dan menyebabkan kulit kelihatan lebih cerah.
5. Pengurangan berat badan kerana buah naga kaya dengan fiber yang mudah larut.
6. Rawatan terhadap penyakit diabetes (kencing manis).
7. Mencegah penyakit kanser usus besar. Mempercepatkan proses pembuangan air


AGRONOMI TANAMAN

Varieti

Buah naga atau nama saintifiknya hylocereus undatus tergolong dalam keluarga Cactaceae atau kaktus. Buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu varieti putih (Hylocereus undatus), varieti merah (Hylocereus polyrhizus), dan varieti kuning (Hylocereus megalanthus), namun begitu hanya dua varieti yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti putih dan merah. Varieti ini mempunyai sifat tanaman yang berlainan antara satu sama lain. Varieti putih mempunyai batang bewarna hijau putih, bahu yang tinggi dan kasar berbanding dengan varieti merah. Tanaman buah naga termasuk dalam kumpulan jenis kaktus yang mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran yang baik.

Tanah

Sesuai dengan tanah berpasir dan tanah loam berpasir yang kaya dengan bahan organik, dan tanah mestilah mempunyai saliran semulajadi yang efisien
Sifat tanaman dan penanaman

Buah naga mempunyai sifat fisiologi ‘long day plant’. Ini bermakna tanaman ini memerlukan tempoh cahaya matahari yang panjang pada waktu siang. Tumbuhan ini hidup secara menjalar dan memerlukan sokongan untuk tumbuh. Oleh itu ia perlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut. Para berfungsi bagi memudahkan batang dan dahannya memanjat dan menjalar. Jenis jarak tanaman yang akan di lakukan adalah 8’ X 10’ yang akan memuatkan 500 batang tiang pada keluasan seekar. Setiap batang tiang konkrit akan ditanam dengan empat batang pokok buah naga ini. Ini bermakna 2000 batang pokok diperlukan pada keluasan seekar.


Bahan tanaman

Pokok buah naga boleh dibiak dengan semaian biji atau keratan batang. Penanaman melalui keratan batang lebih baik kerana bahan tanaman mudah di peroleh dan pokok membesar dengan cepat. Keratan benih tersebut dikeringkan di tempat yang sesuai dan di tanam ke dalam polibag. Keratan boleh juga terus ditanam di ladang sekiranya tapak dan tiang para sudah disediakan. Pokok yang telah ditanam akan menjalar ke atas mengikut tiang. Pokok yang telah ditanam hendaklah diikat pada tiang supaya ia tidak mudah terkulai dan patah. Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia hendaklah dijarangkan supaya ia tidak bertindih-tindih. Sulur air (stem) yang memanjang hendaklah dijaga supaya tidak mudah patah.